BERITA HARIAN ISNIN, 19 MAC 2007 Program budaya al-Quran diteruskan
MUAR: Program membudayakan al-Quran anjuran kerajaan negeri sejak lebih 10 tahun lalu sama ada di masjid dan surau perlu diteruskan kerana berjaya meningkatkan penghayatan terhadap isi kandungan kitab suci itu. Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri berkata, program itu juga dapat mengimarahkan masjid dan surau serta menjayakan kegiatan keagamaan yang dianjurkan dari semasa ke semasa."Program itu juga turut menggalakkan masyarakat membaca al-Quran di rumah sama ada secara individu atau berkumpulan. Ini dapat mengeratkan silatulrahim serta mengukuhkan institusi keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Membudayakan Al Quran Peringkat Mukim Gersik 2007 di Surau 2 Parit Kassan, Bukit Gambir, di sini, kelmarin.Hadir sama ialah, Penghulu Mukim Gersik, Abdul Latif Ahmad, Penggerak Masjid dan Surau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Jamal Diman, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Mukim (JKKM) Gersik, Omar Mustari dan Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar. Hamim yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Ledang, mengingatkan ibu bapa supaya menggalakkan anak mengikuti kelas al-Quran di samping berusaha mendalami isi kandungan Kitab Suci itu. Beliau berkata, langkah menganjurkan program peringkat Mukim secara bergilir di masjid dan surau dalam Mukim Gersik boleh merapatkan lagi hubungan antara 22 ketua kampung dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mukim berkenaan dengan masyarakat akar umbi. |